TEKS UCAPAN
TUAN AHMAD AZAM SHAH BIN ABD. MAJID, AMP.
PESURUHJAYA NEGERI
PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERI PERAK
Mesyuarat Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri
Bil. 1/2010
27 Februari 2010 (Sabtu)
Hotel Seri Malaysia, Ipoh.
Assalamualaikum wrt. wbt., salam sejahtera, salam perpaduan, salam 1Malaysia,
Salam pengakap.
Y. Bhg. Dato’ Kaharuddin bin Momin
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.
Yang Berusaha Tn. Haji Nasaruddin bin Samsuddin
Penolong Ketua Pesuruhjaya Negara (Pembangunan Kepengakapan)
Yang Berusaha En. Wan Saiful
Pen. Pengarah Kokurikulum,
Jabatan Pelajaran Perak.
Yang Berusaha En. Khairul Al Sazali
Pengerusi Majlia Belia Negeri Perak (MBN)
Yang Dihormati Semua Penolong Pesuruhjaya Negeri Perak,
Yang Dihormati Semua Pesuruhjaya Daerah dan Penolong Pesuruhjaya Daerah,
Tuan-tuan dan puan-puan pemimpin pengakap sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt. kerana izin dan iringan barakah-Nya, maka dapat kita berkumpul pada pagi yang permai ini atas satu tujuan murni sempena Mesyuarat Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak Bil. 1/2010.
Terlebih dahulu izinkan saya bagi pihak Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak untuk mengalu-alukan kehadiran Y. Bhg. Dato’ Kaharuddin bin Momin, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (KPPN) ke mesyuarat kita pada pagi ini. Turut dialu-alukan juga Y. Dihormati Tn. Haji Nasaruddin bin Samsuddin, Penolong Ketua Pengakap Negara (PKPPN). Saya sebagai Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak sudah pasti ingin melahirkan rasa sukacita dan bangga atas kesudian DUA orang penting di dalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) ke Negeri Perak. Biarpun kedua-dua mereka mempunyai agenda dan urusan penting lain yang harus dihadiri, namun atas rasa tanggungjawab dan jiwa pengakap yang tinggi, maka jemputan Negeri Perak didahulukan.
Selain itu, saya juga turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh peringkat pimpinan pengakap daerah dan negeri, khususnya Penolong-penolong Pesuruhjaya Negeri dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Daerah atau wakil. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini memberi satu petanda yang amat positif bagi kita meletakkan pergerakan pengakap di Negeri Perak kembali berada di landasan yang betul.
Y. Bhg. Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Tahun 2009 telah pun berlalu meninggalkan kita dengan suatu catatan peristiwa yang terlalu istimewa sifatnya bagi pergerakan pengakap di mana kita merayakan Sambutan Peringatan 100 tahun Pergerakan pengakap di Malaysia. Tempoh 100 tahun, pelbagai catatan peristiwa telah dilalui dan dirasai oleh seluruh urat nadi ahli pengakap di negara. Kita juga pasti tidak lupa, 22 Februari yang baru berlalu iaitu Hari Pengasas Pengakap Sedunia. Sama ada kita tahu atau tidak, sempena hari pengasas ini seluruh ahli pengakap disarankan agar menyorot kembali untuk berfikir kepada perkara yang mendasari prinsip dan fundamental pergerakan pengakap yang diasaskan oleh Sir Lord Baden Powell. Persoalannya, sejauh manakah pemikiran kepengakapan beliau telah ditafsir dan diterjemahkan dalam konteks masa kini. Biarpun zaman beliau terlalu terkebelakang untuk dibuat perbandingan dengan masa kini, tetapi perkara pokok yang dilontarkan oleh beliau masih menjadi teras kepada pegerakan kita hari ini.
Malaysia yang telah merdeka seusia 53 tahun iaitu separuh daripada usia pengakap di Malaysia. Ertinya di sini, Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap kita lebih awal dinobatkan berbanding usia Rukun Negara yang diasaskan pada tahun 1969. Ini membawa maksud segala nilai murni seperti taat dan setia kepada TUHAN, RAJA dan NEGARA telah diamalkan oleh ahli pengakap sejak 100 tahun yang lalu. Pemmpin-pemimpin pengakap yang terdahulu telahpun dapat menghidu dan mengagak bahawa pergerakan pengakap yang kita cintai ini pada suatu hari pasti melalui saat-saat getir. Persoalannya, sejauhmanakah ahli-ahli kita benar-benar memahami dan menjiwai prinsip persetiaan yang menekankan soal SETIA dan JUJUR pada pemimpin dan pertubuhan.
Jika Disember 2004 negara Asia Tenggara termasuk Malaysia telah dilanda fenomena ombak Tsunami yang telah menenggelamkan sebahagian besar tanah-tanah di beberapa negara, mengorbankan ratusan ribu nyawa dan melenyapkan harapan sumber rezeki penduduk buminya. Ramai yang bersetuju, kejadian tersebut ada hikmah di sebaliknya.
Begitu juga iklim politik negara Malaysia, yang menyaksikan gelombang tsunami politik tanahair turut merubah bentuk dan corak pemerintahan negara. Biarpun pergerakan pengakap bersifat berkecuali dari pengaruh politik tetapi tempiasnya turut dirasai. Rupa-rupanya, tsunami dalam pergerakan pengakap tanahair turut melanda. Badainya turut menghakis nilai dan sifat mulia pergerakan.
Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Ini yang saya katakan tadi, usia 100 tahun rupanya bukan jaminan yang pasti bahawa rasa damai dan tenang pergerakan pengakapdi Malaysia kekal selamanya. Kedapatan tangan-tangan yang rakus bersifat angkuh telah mengkocakkan keharmonian pertubuhan ini. Segala imej baik yang dikagumi oleh seluruh pelusuk pertubuhan pengakap sedunia tergugat apabila beberapa individu yang meletakkan kepentingan agenda peribadi berselindung di sebalik kemuliaan diri.
Bagi saya yang baru seperempat di dalam pergerakan pengakap samada di pentas negeri, negara mahupun antarabangsa telahpun di beri tugasan oleh pihak PPM untuk menggalas suatu tanggungjawab atau `scout-mission’ di negeri Perak. Amanah yang saya pikul rupa-rupanya amat berat sebaik saya menggalasnya apabila saya antara individu yang diheret ke pentas pengadln mahkamah oleh mereka yang tamakkan kuasa setelah hilang pertimbangan diri. Saya amat terkilan dan sedih melihat kepada pergerakan pengakap di negeri ini yang terpaksa melalui saat-saat getir sepanjang tahun 2008 hingga 2009. Dirasakan seolah-olah `bahtera yang dilayari tiada berpedoman, walaupun bernakhoda’. Di sini, tanpa berselindung saya berani katakan tahun 2008 dan 2009, pergerakan pengakap di Perak khasnya dan Malaysia amnya hilang arah seketika angkara insan yang dangkal kewarasan akal dan fikiran.
Insiden tersebut turut melibatkan Pesuruhjaya Negeri Perak. Akibatnya, jawatan dan tauliah beliau ditarik oleh Persekutuan Pengakap Malaysia mulai 18 Mac 2008 dan Saya yang telah dilantik Menjalankan Tugas-Tugas Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak mulai 24 Mac 2008. Sebahagian besar pemimpin di negeri ini amat tebal pemikiran `tersalah tafsir’ atas polemik kepimpinan yang berlaku. Sebahagian besar rakan-rakan seolah-olah telah dibutakan mata, dipekakkan telinga dan dibisukan suara untuk bertanya soal kebenaran dan kepalsuan. Biarpun saya cuba untuk membetulkan mesej ini, tetapi mantan Pesuruhjaya Negeri serta `beberapa kerat’ antara mereka tetap dengan pendirian palsu yang cuba ditegakkan, DAHULU, KINI dan mungkin tiada noktahnya.
Tetapi alhamdulillah, tempoh setahun setengah saya ambil untuk membuktikan bahawa sifat berdiam diri bukan bererti saya mengalah. Cerdik pandai ada berkata, `biarlah kita berdiam diri tanpa suara dari berkata perkara yang mengundang malapetaka’. Saya percaya jika semakin banyak kita berbicara soal keburukkan orang, semakin banyak kesilapan sendiri yang kita undang. Kini terbukti, tanpa disedari oleh tuan empunya diri, beliau terperangkap di dunianya sendiri. Sama-samalah kita tunggu dan lihat, biar masa sahaja yang membuktikan kebenaran yang saya katakan.
Kini, tahun 2010 yang mendatang harus kita tempohi. Sebagai peneraju kepimpinan pergerakan pengakap, terus terang saya katakan bahawa saya tidak mampu untuk berdiri, berjalan mahupun berlari secara sendiri bagi membawa panji pengakap yang mulia ini. Saya amat menagih khidmat sukarela dari pemimpin pengakap di negeri ini. Saya percaya, negeri Perak punyai ramai pemimpin yang berkaliber dan berkemahiran di bidang kepengakapan. Untuk makluman Y. Bhg. Dato’ Kaharuddin, hampir 90% barisan kepimpinan saya merupakan muka-muka baru. Biarpun baru atas jawatan, tetapi mereka telah lama dan mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pergerakan kepengakapan. Samada Penolong Pesuruhjaya Negeri, mahupun Pesuruhjaya Daerah yang telah saya lantik adalah menjadi harapan saya agar jawatan yang diterima biarlah sentiasa Mendasari Persetiaan Dan Undang-undang Pengakap. Pengakap bukan kepunyaan peribadi, tetapi ianya perlu dikongsi di setiap inci.
Kepada seluruh saf kepimpinan saya, sekali lagi saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan marilah bersama-sama kita kembalikan era kegemilangan pergerakan pengakap Negeri Perak. Kita adalah moderator kepada gerakan kepengakapan di kumpulan sasaran iaitu ahli pengakap. Ayuh kita atur langkah bersama-sama, bergerak sederap secara berpasukan atau `team-work’ di dalam menjayakan agenda perdana pemimpin pengakap negara. Saya sentiasa bersifat terbuka, bersedia menerima pandangan dan teguran.
Tuan-tuan dan puan-puan, ingatlah....SEMALAM adalah KENANGAN, HARI INI adalah KENYATAAN dan ESOK merupakan SUATU PERJUANGAN. Kejutkan rakan-rakan yang masih dilamun igauan, beri harapan kepada kumpulan yang hilang pedoman, satukan barisan yang terpisah dek kecetekan pemikiran yang bertindak atas landasan nafsu dan kejahilan. Apa yang maha penting pada saya adalah anak-anak pengakap yang telah kita nafikan hak mereka untuk hidup berjaya penuh gaya sebagai pewaris bangsa. Ingat..sejarah telah membuktikan....ada pertubuhan hebat telah berkubur tanpa nesan gara-gara pemimpin yang bergelut merebut jawatan. Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan Pak Pandir menari dengan rentak sumbangnya, biarkan Mat Jenin jatuh ke bumi gara-gara angan-angannya, tetapi jangan sampai kita bersengketa berebut sedikit kuasa hinggakan jika MENANG JADI ARANG dan KALAH JADI ABU. Ketahuilah, yang menang tidak menang semuanya, manakala yang tewas tidak hilang segalanya.
Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan rasa bangga atas kunjungan Y. Bhg. Dato’ Kaharuddin dan Tuan Haji Nasaruddin dari ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di dalam mesyuarat ini. Kepada rakan-rakan seperjuangan, kalianlah pejuang kepengakapan yang sejati. Insyaallah, jika jujur niat di hati, pasti langkah kita direstui Ilahi.
Sekian, terima kasih.
0 comments:
Post a Comment